Rawatan yang digunakan untuk pesakit kanser kanak-kanak adalah toksik, tidak menyenangkan dan tidak menentu.
Pelbagai usaha dilakukan bagi mencari cara terbaharu untuk merawat kanser di mana cabaran utama yang dihadapi para doktor hari ini ialah bagaimana untuk menjadikan rawatan lebih selamat dan mengurangkan risiko bahaya berkaitan rawatan kepada pesakit kanak-kanak.
Terdapat beberapa jenis rawatan yang digunakan untuk kanser kanak-kanak termasuk pembedahan, kemoterapi, radioterapi, imunoterapi dan pemindahan sel stem. Selalunya gabungan rawatan ini digunakan.
Pembedahan
Pembedahan memainkan peranan amat penting dalam rawatan kanser yang bertujuan untuk membuang tumor.
Bergantung kepada saiz dan kedudukan tumor dalam badan, pembedahan mungkin menjadi bahagian pertama rawatan. Kadang-kala, pembedahan boleh membahayakan atau menyebabkan kerosakan yang besar disebabkan saiz dan kedudukan tumor. Dalam situasi ini, kemoterapi atau radioterapi mungkin terlebih dahulu digunakan bagi mengecutkannya.
Kemoterapi
Kemoterapi adalah istilah yang digunakan terhadap ubat-ubatan yang diberikan untuk membunuh sel-sel kanser.
Ia boleh diambil secara oral (melalui mulut), intravena (disuntik terus ke dalam vena), intraotot (disuntik terus ke dalam otot) atau intrathecally (terus ke dalam cecair spinal).
Radioterapi
Radioterapi merawat kanser dengan menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser pada bahagian tertentu dalam badan. Rawatan ini biasanya diberikan sebagai satu siri sesi harian pendek dalam tempoh beberapa minggu.
Radioterapi juga digunakan pada kanak-kanak yang memerlukan pemindahan sel stem (sum-sum tulang). Radioterapi digunakan untuk memusnahkan sumsum tulang mereka yang sedia ada sebelum pemindahan.
Imunoterapi
Sejenis rawatan terkini yang mula digunakan dalam rawatan beberapa jenis kanser dan menjadi subjek kepada banyak usaha penyelidikan.
Ia memanfaatkan kuasa sistem imun pesakit sendiri untuk menyerang kanser. Ini boleh dicapai dalam beberapa cara yang berbeza.
Sejenis imunoterapi dikenali sebagai terapi anti-GD2 sedang diuji untuk kanak-kanak dengan neuroblastoma berisiko tinggi.
Keputusan awal memberi harapan cerah tetapi ia mempunyai kesan sampingan yang tidak menyenangkan dan masih diperbincangkan.
Pemindahan sel stem
Pemindahan sel stem atau sum-sum tulang membolehkan kanak-kanak menerima dos kemoterapi yang lebih tinggi. Ini kerana dos kemoterapi yang tinggi meningkatkan peluang menyembuhkan kanser tetapi mempunyai lebih banyak kesan sampingan.
Dos yang sangat tinggi akan memusnahkan sel-sel stem darah dalam sum-sum tulang. Oleh itu, selepas kemoterapi berdos tinggi kanak-kanak akan diberikan sel stem untuk menghasilkan sel-sel darah lagi.