CAKNE

Tentang CAKNE

CAKNE adalah sebuah kumpulan sokongan untuk pesakit kanser kanak kanak yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta ahli keluarga mereka. Ia ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 oleh Hj. Mohd Shah Awaluddin dan isterinya Puan Nor Hashimah Sulaiman serta beberapa orang ibubapa lain yang anak mereka juga diuji dengan kanser ketika itu.
 
CAKNE seterusnya telah didaftarkan secara rasmi atas nama Persatuan Sokongan Kanser Kanak Kanak PPUKM  pada 2hb Ogos 2013 dengan No Pendaftaran PPM-020-10-02082013.
Image

Misi CAKNE
Memberi sokongan holistik kepada semua pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz secara khususnya dan seluruh Malaysia secara amnya tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.

Image

Maklumat lanjut tentangCAKNE

Sebagaimana yang sedia maklum, kanser adalah suatu penyakit yang amat digeruni manusia. Kedahsyatan penyakit, rawatan serta kesan kesan sampingannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi oleh orang dewasa apatah lagi oleh kanak-kanak yang belum mengerti apa apa.

Apabila seseorang kanak-kanak menghidap kanser, seluruh keluarganya akan turut terjejas. Ibu biasanya terpaksa berada berbulan-bulan di hospital bersama anak yang sakit secara berterusan dan dengan itu terpaksa meninggalkan anak-anak yang lain di rumah. Bapa pula tidak dapat bekerja seperti biasa kerana terpaksa membahagikan masa diantara tempat kerja-rumah-hospital. Adik-beradik pula terabai sekiranya tidak mempunyai sistem sokongan yang mantap. Masalah kewangan pula sudah pasti menghambat kerana kos rawatan yang tinggi dan berterusan. Ia bertambah teruk apabila salah seorang daripada ibu bapa terpaksa berhenti kerja atau bercuti tanpa gaji.

Kadang-kadang walaupun telah bertahun-tahun menjalani rawatan, Allah SWT dengan segala kebijaksanaan-Nya tetap juga mengambil anak itu pulang ke rahmatullah. Betapa beratnya musibah ini, hanya mereka yang telah melaluinya sahaja yang mengetahui hakikat pedihnya sebuah kehilangan.

Namun sebagai insan yang bertakwa, semua musibah ini merupakan ujian Ilahi yang diberi kepada mereka yang sebenarnya mampu memikulnya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…”

(Al-Baqarah: 286)

Pada masa yang sama, sesungguhnya kasih sayang Allah SWT bukan hanya melalui kegembiraan, kekayaan, kemenangan dan kesihatan tetapi juga melalui musibah. Kesabaran dan keredhaan menghadapinya akan menerima ganjaran yang hebat.

“…………. Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Az Zumar : 10)